Ara mengusap-usap belakang badan Natasha. Air
mata yang bercucuran gugur dari tubir mata sahabatnya disapu lembut. Nafasnya
turun naik menahan perasaan marah yang teramat. Wajah Natasha yang kelihatan
sedang menanggung penderitaan yang sangat besar itu menimbulkan rasa tak puas
hati terhadap Iskandar.
Memang Ara tidak puas hati dengan Iskandar
sekarang. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia pergi mencakar atau menyimbah
asid ke muka Iskandar. Apa guna muka kacak tahap melampau tapi perangai jahat
mengalahkan pembunuh bersiri. Dia ingat orang lain tak ada hati ke? Tak ada
perasaan? Sesedap hati dia nak menyakitkan hati orang. Geramnya aku ni. Siap
dia kalau aku jumpa dia. Depan semua orang aku malukan dia. Dia ingat dia buat
Tasha macam tu tak ada orang yang akan bela Tasha? Aku ada!
“Ara! Ara. Jangan Ara. Aku tak nak besarkan
perkara ni.” Natasha menahan langkah Ara yang sudah berdiri. Dia tahu Ara pasti
mahu pergi menyerang Iskandar. Dia kenal dengan perangai Ara. Apa yang tak kena
di matanya pasti dia akan menentang habis-habisan.
“Engkau nak bela dia buat apa Tasha? Kau
ingat. Kau menangis macam ni dia akan jadi baik ke? Aku tak rasa macam tu. Biar
aku ajar dia tu. Dia ingat kau tu isteri dia, dia boleh sesuka hati je nak buat
kau macam ni? Dia tahu tak dia tu suami. Heishh.. aku ni teringatan muka dia je
aku rasa macam nak cakar-cakarkan aje muka dia tu.”
Ara kemudiannya duduk semula mengadap Natasha. Muka Natasha dipegang supaya
memandang tepat ke dalam matanya. Biar Natasha faham dengan apa yang dia
fikirkan ketika ini. Kenapalah Natasha terlalu takut untuk membalas perbuatan
Iskandar itu? Selalunya Natasha bukanlah seorang yang lemah.
“Tak apa Ara. Aku yakin. Satu hari nanti.
Satu saat nanti mesti dia akan kembali macam dulu balik. Satu hari nanti mesti
dia akan datang pada aku, dia akan cakap, ‘Tasha, abang minta maaf atas semua
silap abang. Abang nak pulang.’ Dan masa tu aku akan kata pada dia ‘tak apa
abang. Tasha faham. Kita bina hidup baru. Mari kita pulang’. Aku yakin semua tu. Aku cintakan dia dari
segenap sudut Ara. Aku bukan cintakan wajah dia. Tubuh dia. Saat baik dia.
Sejak pertama kali aku jatuh cinta dengan
dia memang aku dah menerima semua keburukan dia. Aku percaya Allah hanya
menduga aku sekarang. Aku akan terus bertahan selagi aku mampu kecualilah dia
sendiri yang kata pada aku dia tak cintakan aku macam aku cintakan dia. Waktu tu
aku terpaksa pergi tinggalkan dia sebab aku memang tak layak untuk dia lagi.”Natasha
menyapu semua air mata di pipinya. Tangan Ara yang dipipinya digenggam erat.
Dia mahu Ara sedar bertapa dia sayangkan suaminya.
Ara bangun dan melangkah menuju ke arah
pintu dan mengunci pintu itu bila terdengar bunyi tapak kaki berjalan di luar
bilik persalinan itu. Takut juga jika ada pula telinga lintah yang terdengarkan
perbualan mereka. Aib sahabatnya wajib dia jaga. Lainlah Iskandar nasi kandar
penjahat besar tu. Ara kemudiannya duduk semula mengadap Natasha.
“Tasha. Dia buat kau macam tak ada harga
tau. Bila dia tak nak dia buang. Bila dia nak dia kutip. Kau rela macam tu?”
Ara mengetap bibir. Geram dengan perangai Natasha yang masih juga mahu
memenangkan suaminya. Tangannya mencapai telekung yang tidak berlipat di
sekelilingnya. Sekurang-kurangnya dia dapat mengalihkan perhatiannya dari terus
menerus marah-marah.
“Tak apa aku rela. Syurga aku pada dia.
Anak aku perlukan bapa. Kalau dia tak suka aku. Bencikan aku aku terpaksa
pasrah. Aku terpaksa redha. Yang penting anak aku berbapa. Tak rasa kekurangan
kasih sayang. Aku tahu macam mana rasanya sakit tanpa ibu bapa. Tapi walau
macam mana pun aku dapat jugak merasa kasih sayang ibu bapa sampai umur dua
puluh satu tahun. Tapi anak aku? Sejak dia dalam kandungan sampai dia lahir dia
tak dapat rasa kasih sayang seorang bapa? Aku tak mahu macam tu. Aku nak dia
hidup gembira sama dengan anak orang lain.”Ara hanya mampu menghela nafas
panjang.
“Tasha. Sesungguhnya kaulah manusia paling
tabah yang pernah aku jumpa dalam hidup aku. Setiap kali masalah, kesedihan,
kesengsaraan menimpa kau, kau hadapi dengan tabah. Walaupun hati kau terluka kau tetap teruskan perjuangan kau. Aku berdoa
semoga segala ketabahan kau mendapat balasan yang setimpal dari Allah SWT. Aku
Cuma mengharapkan yang terbaik untuk kau. Aku akan temani setiap jalan kau. “
Mata Natasha direnung sehingga ke dasarnya tanda dia memang jujur dengan
kata-katanya itu. Natasha didakapnya semula. Harapannya sahabatnya akan keluar
dari semua kesedihan ini nanti.
Natasha terduduk di dalam bilik air lagi. Dia
mengelap mulutnya seusai berkumur. Tempoh tujuh minggu kandungannya memang
sangat mencabar baginya. Setiap pagi dia terpaksa berlari ke bilik air untuk
muntah. Walaupun dia berasa penat dan sakit dengan semua itu dia terpaksa
bertahan sendirian. Dia takut untuk memberitahu kebenaran bahawa dia hamil
kepada Iskandar.
Masakan tidak, sudah sebulan Iskandar
berkelakuan dingin dengannya. Memandang wajahnya pun Iskandar tak sudi. Inikan
pula untuk berbicara dengannya. Tak ada ruang langsung untuk dia memberitahu
keadaannya kepada Iskandar.
Hati Natasha semakin hancur dengan
perlakuan suaminya itu. Setiap harinya bertemankan air mata bila Iskandar
memalingkan muka darinya. Setiap kali dia memulakan kata dia terpaksa menerima
kata-kata kasar dari Iskandar. Dia hanya mampu menahan hancurnya perasaannya.
Natasha bangkit dari duduknya. Dia
memandang cermin di hadapannya. Jam sudah pukul sepuluh pagi. Mujur kelasnya telah
dibatalkan hari ini. Kalau tidak pastinya dia terlambat ke kelas. Iskandar
sudah pasti telah pergi ke universiti. Entah dia tak pasti. Semenjak kejadian
Iskandar menyuruhnya pergi ke kelas dengan Pak Ali dia tak pernah lagi tahu
waktu Iskandar ke universiti dua minggu lalu. Tahu-tahu saja Iskandar sudah
tidak ada di dalam rumah.
Di kampus juga dia tak pernah bertembung
dengan Iskandar. Tambahan pula semester ini Iskandar tidak mengajarnya. Di
rumah juga dia jarang bertemu dengan Iskadnar. Iskandar selalunya pulang lewat
malam setelah dia sudah tidur menyebabkan kadang kala dalam masa sehari wajah
Iskandar langsung tidak kelihatan. Memang dia sangat rindukan wajah itu.
Terlalu rindu, namun apa yang dapat dia lakukan hanyalah memeluk baju Iskandar
yang dapat di ambilnya dari bilik Iskandar ketika ketiadaan Iskandar di rumah.
Dia mengeluh panjang. Kadang kala mahu saja
dia mengikut kata Ara supaya mengalah dan mengadu sahaja kepada kedua orang tua
Iskandar. Pasti mereka dapat menyelesaikan masalah yang melanda dia dan
Iskandar. Tetapi setiap kali dia ingin berbuat begitu pasti wajah mama dan
papanya terlayar di matanya.
Ibu dan bapa mertuanya juga sama seperti
ibu bapa kandungnya sediri. Bahkan boleh dikatakan dari dia kecil dia sudah
rapat dengan mereka berdua. Sanggupkah dia mengecewakan ibu bapa mertuanya
dengan berita kedinginan rumah tangganya? Biarlah waktu yang membuka cerita itu
kepada kedua mertuanya nanti. Dia masih mampu bertahan.
Bunyi ketukan di pintu biliknya membuatkan
Natasha menjadi teruja. Abang? Dia segera berlari keluar dari bilik air. Mujur
bilik airnya sentiasa kering kalau tidak pasti dia akan terjatuh kerana licin. Natasha
berhenti sebentar di hadapan cermin make up. Sepit rambut berbentuk rama-rama
diambilnya dan disepitkan di rambutnya.
Natasha mengemaskan dirinya. Rambut
lurusnya dilurut dengan jari supaya lebih kemas. Pipinya dikembungkan sedikit konon memberikan tenaga
kepada wajahnya yang kelihatan pucat itu. Pelembab bibir bewarna merah jambu
pudar dioleskan di bibirnya supaya bibirnya tidak kelihatan terlalu kering. Baju
gaun labuh ungu lembut juga dibetul-betulkan sedikit.
Dia ingin kelihatan cantik di hadapan
Iskandar. Biar Iskandar tidak berasa bersalah dengan apa yang dilakukannya. Bunyi
ketukan di pintu biliknya berbunyi lagi sebaik sahaja Natasha sampai di
belakang pintu.
Dengan lafaz Bismillah Natasha memulas
tombol pintu. Senyuman paling manis diukirkan di bibirnya. Namun perlahan-lahan
senyuman itu pudar wajah yang diharapkan Iskandar malangnya bukan Iskandar.
Wajah Mak Timah yang sedang menatang dulang membuatkan hatinya terlalu hampa. Natasha
membuka pintu biliknya lebih luas lagi.
“Tasha sayang. Makan sikit ye nak. Mak ada
masakkan bubur barli macam yang Tasha suka . Tadi pagi Pak Ali kata kelas Tasha
batal. Itu yang mak datang bawakan makanan. Mak tahu Tasha pasti belum makan
lagi.” Mak Timah masuk ke dalam bilik Natasha dan meletakkan dulang itu di atas
meja kopi di hadapan sofa. Natasha menurut langkah Mak Timah. Dia kemudiannya
duduk di atas sofa.
Mak Timah menuangkan susu ke dalam gelas
lutsinar di atas dulang itu. Mujur pagi tadi suaminya memberitahu bahawa kelas
Natasha batal. Kalau tidak pastinya Natasha akan mengambil lewa untuk makan.
Dan mujur juga rumah mereka hanya dibelakang rumah Natasha kunci rumah Natasha
memang dalam pegangannya.Kalau tidak pasti lagi lambat untuk dia menghantar
makanan kepada Natasha.
Wajah sayu Natasha dipandang lama.Kasihan
anak aku. Pasti dia megharapkan Iskandar datang tadi. Tengoklah dia dah bersiap
cantik-cantik. Mesti dia hampa sangat.
“Tasha tak ada seleralah mak. Tasha tak
rasa nak makan pun.” Natasha menjawab perlahan. Rasa kecewanya masih memenuhi
segenap sudut hatinya. Gelas berisi susu yang dihulurkan oleh Mak Timah
disambut Natasha. Dia hanya memengang gelas itu di atas ribanya. Tak ada rasa
untuk meminum susu itu. Tekaknya masih lagi mual selepas muntah teruk tadi.
“Tasha tak boleh macam ni nak. Kalau Tasha
tak makan anak dalam perut tu macam mana? Tasha tak sayangkan dia ke? Tasha tak
nak dia membesar dengan sihat dalam perut Tasha macam tu?” Mak Timah mula
menggunakan cara reverse psikologi. Semoga Natasha termakan dengan pujukannya
itu.
Natasha memandang Mak Timah lama. Akhirnya
dia mengagguk untuk makan. Tak sanggup dia mendera anak dalam kandungannya
hanya kerana dia sedang bersedih hati. Dia mahukan yang terbaik untuk anaknya. Susu
ditangannya segera diminum sehingga habis segelas.
Mangkuk bubur barli yang masih panas itu
diangkat dengan berhati-hati dan disuapkan sedikit ke dalam mulutnya. Seperti artikel
yang pernah dia baca dahulu. Barli memang bagus untuk kesihatan. Hal ini
kerana, barli dikatakan dikatakan mengandungi 11 kali kalsium daripada
susu lembu, hampir 5 kali zat besi dalam bayam, 7 kali vitamin c dalam oren dan
80 mg vitamin B 12 daripada 100 gram barli. Jadi memang kebetulan apabila dia
suka memakan barli dan barli juga baik untuk kesihatan.
“Makan perlahan-lahan nak. Kalau nak tambah
lagi dekat bawah ada banyak lagi. lupakan dulu perkara sedih dalam fikiran
Tasha. Mak tengok Tasha dah kurus sangat sekarang ni. makan banyak sikit ye
nak.”
Mak Timah tersenyum lebar bila Natasha
makan lebih banyak dari biasa. Selalunya sangat susah untuknya menyuruh Natasha
makan. Natasha yang dulunya seorang periang akhir-akhir ini seperti patung tak
bernyawa. Lebih banyak termenung dan menghadap buku-buku pelajarannya.
Natasha mengesat air mata yang mengalir
perlahan di pipinya. Sejak akhir-akhir ini air matanya mengalir bagaikan
langsung tiada penyekat. Terlalu mudah untuk mengalir. Sudahnya dia hanya mampu
beristighfar dan berdoa meminta kekuatan dari Allah swt setiap kali dia begitu.
Selagi dia mampu bertahan, dia akan bertahan.
“Sabar sayang. Jaga hati. Jangan biarkan
hati tu terlalu sedih. Tak baik untuk pembesaran anak dalam perut. Datin Rose
dah tahu ke perkara ni?” Soal Mak Timah cuba mengalih perhatian Natasha dari
terus menangis. Natasha mengangkat muka
memandang Mak Timah dan menggeleng kemudian menunduk semula.
“Dia tak telefon Tasha langsung ke nak? Seingat
mak dia memang rapat dengan Tasha kan?”
Nafas panjang dihela Natasha.
“Tasha cuba mengelak setiap kali mummy
telefon. Tasha selalu bagi alasan Tasha sibuk sangat. Belum sampai masanya
mereka tahu pasal anak Tasha mak. Kalau boleh Tasha nak Is yang pertama sekali
tahu sebelum mereka.”
“Insha Allah sayang. Semuanya akan kembali
pada asal. Tasha kena selalu ingat ye nak. Walau satu dunia ni buang Tasha mak
ada untuk Tasha. Bila-bila masa Tasha perlukan mak, mak akan ada. Mak sentiasa
mahukan yang terbaik untuk Tasha.”
Kenangan sewaktu kali pertama dia tahu
Natasha hamil terlintas kembali di kepalanya. Kalaulah pagi itu dia tak
terfikir untuk menjenguk Natasha setelah Iskandar keluar dari rumah pastinya
Natasha pengsan bersendirian di dalam tandas. Mujur dia sempat sampai ketika
Natasha sedang mengalami alahan yang sangat teruk. Kelam kabut dia memanggil
Pak Ali untuk membawa Natasha ke klinik waktu itu. Sangkanya Natasha mengalami keracunan
makanan kerana muntah dengan teruk rupanya Natasha hamil. Sejak itu dia
berjanji dengan dirinya akan menjaga Natasha sebaik mungkin sehingga Natasha
bersalin nanti.