Tuesday, December 24

My Hubby My Lecturer!!! bab 46

Kitab al-Quran di hadapannya ditutup perlahan. Jam yang berada di meja sisi katil direnung sebentar. Ah… sudah pukul enam pagi. Sudah masuk waktu subuh rupanya. Dia terlalu leka mengalunkan ayat suci al-Quran sehingga tak perasankan azan subuh yang berkumandang.

Hatinya yang semalamnya gundah tak bertepi kini terasa sedikit tenang. Tenang kerana telah menghadap sang Pencipta.Iskandar bangun dari duduknya. Dia meletakkan al-Quran yang dibacanya tadi di atas meja sebelum menuju ke sejadah semula untuk menunaikan solat subuh. Dia perlu cepat kerana sebentar lagi dia akan memulakan misi mencari isteri tercintanya.

Dia sudah tidak betah lagi tinggal di rumah ini tanpa kehadiran Natasha. Perasaannya yang selama ini terasa indah kini terasa seperti kosong tanpa harapan. Sungguh dia rindukan isterinya itu. Dalam hatinya dia kerap kali menyalahkan dirinya sendiri atas pemergian Natasha. Sungguh dia sangat menyesali setiap perbuatannya yang menyakiti Natasha itu.

Natasha seorang isteri yang sangat tabah menghadapi segala dugaan yang diberikan kepadanya. Tetap cuba bertahan untuk berada di sisinya walaupun setiap hari disakiti. Masih tetap cuba menjadi seorang isteri yang taat kepadanya. Masih tetap menyediakan makan dan pakainya walaupun kebaikannya itu ditolak tanpa perasaan.  Isteri yang tetap cuba tersenyum di hadapannya walaupun hati sentiasa hancur kerana tidak diberi perhatian. Demi Allah dia terlalu menyesali semua itu. Kalaulah dia tidak pernah melakukan kesilapan itu. Kalaulah dia redha sahaja dengan kebenaran itu. Kalaulah dia tidak terpengaruh dengan surat yang diterimanya hari itu. Kalaulah…



Usai menunaikan solat subuh Natasha mengangkat keluar bingkai gambar yang berada di dalam beg tariknya. Gambar yang sangat disayanginya. Pandangan mata indah yang sering dia puja terhias di gambar itu membuatkan Natasha tersenyum. Dia mengusap gambar itu dengan penuh perasaan. Rindunya membuak terhadap pemilik senyuman di dalam gambar itu membuatkan air matanya gugur membasahi pipi.

Sungguh dia terlalu rindukan segalanya tentang Iskandar. Senyumannya, suaranya, gerak tubuhnya, harumannya, auranya. Dia rindu. Terlalu rindu. Sudah lebih sebulan dia kehilangan semua itu. Sudah sebulan lebih dia kehilangan suami yang mencintainya, yang membelainya dengan kata-kata yang romantis, pandangan mata yang redup penuh dengan rasa cinta, pelukan yang mendamaikan, yang menenangkan dia dengan haruman tubuhnya yang menyelesakan, segalanya tentang Iskandar dia rindu. Natasha memeluk lebih erat bingkai gambar itu.

“Abang. Betul ke selama ni abang tak pernah cintakan Tasha? Terlalu tak layakkah Tasha untuk abang? demi Allah Tasha terlalu cintakan abang sepenuh hati Tasha. Tak ada terkurang sedikit pun. Abang, Tasha sendiri tak faham dengan hati Tasha. Tasha sepatutnya bencikan abang dengan apa yang abang dah lakukan.

 Tapi Tasha tak dapat membenci abang. Tasha terlalu cintakan abang. Terlalu cintakan abang sehingga tak mampu membenci abang. Tapi kenapa abang sampai hati buat Tasha macam ni? Tasha perlukan abang. Anak kita perlukan abang. Macam mana Tasha nak berdiri tanpa abang di sisi Tasha? Macam mana Tasha nak besarkan anak kita seorang diri tanpa abang? Abang… Tasha rindu abang. Terlalu rindukan abang.”Suaranya tersekat-sekat dek esakan yang tidak dapat dibendungnya.  Air matanya yang sudah tidak berhenti mengalir dikesatnya dengan jari ibu berkali-kali.

Wajah Iskandar yang tersenyum lebar di dalam gambar itu dikucup dengan penuh rasa cinta. Gambar itu dibawa ke dalam dakapannya. Sungguh dia tak mahu kehilangan pemilik wajah itu. Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa dia cintakan Iskandar dari dulu sehingga kini. Iskandar cinta pertamanya. Dia pernah terlupakan Iskandar buat seketika. Entah Iskandar hilang ke dimensi yang mana dia tak pasti. Iskandar siapa. Iskandar yang mana dia tak tahu. Dia lupa!

Yang dia tahu dia hanya cintakan abang Amin. Abang Amin itu siapa juga dia tidak pasti. Tetapi dia terus menerus mencintai abang Amin. Setiap saat, setiap waktu tanpa henti. Dan apabila dia menyedari bahawa Iskandarlah abang Aminnya. Hanya Tuhan yang tahu bertapa gembiranya dia bila dapat mengetahui siapakah pemilik hatinya itu. Wajah yang selama ini cuba dia cari pemiliknya telah dia temui.

Selama ini abang Amin di dalam bayangannya hanyalah satu susuk tubuh tanpa rupa yang jelas. Hanya bayangan seorang remaja lelaki berjalan segak di sisinya dengan suara yang sangat menenangkan jiwanya. Jadi apabila dia mengetahui hal siapa abang Amin sebenarnya perasaan cintanya terhadap Iskandar semakin menggunung.

‘Wahai hati. Tidak ertikah engkau apa itu rasa rendah diri? Dia sudah buang engkau. Dia sudah campakkan engkau ke tempat  terendah di sisi dia. Tapi kenapa masih lagi kau tak pernah sedarkan diri? Kenapa masih lagi kau mengejar cinta dia? Tak tahu malukah engkau? Sudah terang terangan Iskandar kata yang dia tak cintakan kau. Kenapa kau masih tak sedar diri? Menagih lagi cinta pada yang tak sudi?’ Suara yang entah dari mana datangnya meragut ketenangan jiwa Natasha. Dia segera menekup telinganya.

‘Memang aku tak sedar diri. Sebab aku cintakan dia!’ Natasha menjawab dengan lantang. Biar dia menegakkan rasa hatinya ketika itu.

‘Dasar tak malu! Sudah dibuang masih lagi menagih cinta orang. Kau sepatutnya sedar diri kau siapa sebelum kau cuba berdampingan dengan dia. Kau hanyalah anak kecil yang cengeng yang tak mampu perjuangkan hati dan perasaan kau. Kau lemah!’

‘Aku tak lemah! Aku tak lemah! Aku sedang berjuang. Aku berjuang untuk pertahankan hak jiwa aku! Hak anak aku yang bakal dinafikan dia. Aku memang cintakan dia. Tapi aku masih manusia biasa. Aku ada perasaan. Aku rasa sakitnya bila disakiti. Sebab itu aku undurkan diri. Biar aku dengan anakku. Biar dia dengan dunia dia. Andai nanti satu hari dia sedar yang dia perlukan aku. Aku sentiasa sedia untuk dia. Anak dia perlukan dia.’ Jawab Natasha yang sedikit merayu kepada keadaan. Sebenarnya memang dia sangat memerlukan Iskandar di sisinya.  

‘Kau ingat dia akan cari kau? Tak mungkin!’ Suara itu bergema lagi. Entah dari mana. Mungkin dalam kepalanya  sendiri yang cuba melawan kehendak hatinya.

‘Tak! Tak! Dia akan cari aku! Dia akan cari aku. Aku yakin. Dia cintakan aku. Dia akan cari aku nanti. Dia sendiri pernah kata pada aku yang dia cintakan aku. Dan aku pernah melihat cinta itu dalam mata dia. Dia pasti akan cari aku di sini. Aku yakin!’ Natasha menjerit lantang melawan suara itu.

Bunyi guruh di luar rumah menyedarkan Natasha dari emosinya tadi. Tangannya yang tadi diletakkan di telinga segera diletakkan di dadanya. Astaghfirullahalazim. Dia beristighfar berkali-kali. Mujur dia tidak terus hanyut dalam mainan perasaannya. Dia meraup mukanya sambil melepaskan nafas dengan berat. Wahai hati sabarlah kau dengan dugaan yang Allah berikan ini.

Pintu biliknya diketuk sekali sebelum ada yang membukanya dari luar. Natasha memandang ke arah pintu itu. Pasti Mak Timah yang membukanya. Kerana di rumah ini hanya ada dia, Mak Timah, dan Pak Ali  sahaja. Cik Som yang ditugaskan untuk menjaga Villa ini sudah pulang ke rumahnya malam tadi dan akan ke sini semula tengah hari nanti. Dan benar tekaannya. Wajah Mak Timah yang sedang tersenyum lebar berada di muka pintu itu.

“Assalamualaikum sayang. Dah solat nak?” soal Mak Timah sebaik sahaja berada di sisi Natasha. Rambut Natasha yang baru dipotong itu diusap lembut. Senyuman paling manis dia berikan kepada majikannya yang dianggap sebagai anaknya sendiri itu. Kasihan Natasha dari wajahnya jelas dia baru sudah menangis. Sehingga hari ini entah sudah berapa ribu kali dia menangis Mak Timah tidak pasti.

Natasha mengangguk perlahan. Dia cuba membalas senyuman Mak Timah semanis mungkin. Tetapi apa yang terpamer hanyalah senyuman hambar. Tubuhnya terlalu lemah pagi ini. Untuk tersenyum pun dia sudah tidak mampu. Yang dia ingin ketika ini hanyalah ketenangan hati.

“Kalau sudah solat, kita makan ye nak. Dari semalam Tasha tak makan langsung. Mak ada masakkan kari ketam yang Tasha suka. Ke Tasha nak makan makanan lain? Mak boleh masakkan. Makan sikit ye sayang.” Mak Timah cuba memujuk Natasha. Dia risaukan kesihatan Natasha. Dari semalam dia tidak makan apa-apa kecuali air susu sahaja. Pasti tubuhnya sangat lemah ketika ini.

Natasha menggeleng sedikit. Tangan Mak Limah di bahunya digenggam lembut. Dia tidak ada selera untuk makan ketika ini.

“Tak boleh macam tu nak. Tasha makan sikit ye. Sikit aje pun tak apa. kesian baby Tasha. Dari semalam dia berlapar. Makan sikit ye nak. Mak bawakkan naik atas.” Pujuk Mak Timah lagi.

Kepalanya digeleng sekali lagi.  Tetapi tiba-tiba tekaknya terasa seperti inginkan sesuatu. Iya…. Masakan itu. Sudah lama dia tidak merasainya. Membayangkan rasanya yang sedikit masam dan enak itu membuatkan Natasha kecur air liur. Seleranya segera terbuka memikirkan dia jika dia dapat merasai makanan itu.

“Mak…. Tasha nak spaghetti Bolognese boleh?”  Natasha bersuara tiba-tiba. Mak Timah yang tadinya kelihatan hampir hampa kembali tersenyum.

“Boleh nak boleh. Sekarang jugak mak masakkan. Mujur ada bahan-bahan di dapur Mak Som sediakan semalam. Sekejap ye sayang mak masakkan. Kejap lagi Tasha boleh makan. Alhamdulillah Ya Allah. Akhirnya Tasha mahu makan juga. Alhamdulillah.” Mak Timah mengucapkan syukur berkali-kali sebelum dia segera keluar dari bilik itu menuju ke dapur.

Natasha bangun mengekori Mak Timah ke dapur perlahan-lahan. Spaghetti Bolognese yang dia inginkan ini bukanlah spaghetti Bolognese yang biasa. Dia inginkan Spaghetti Bolognese yang berbeza. Yang membuka seleranya walaupun hanya dibayangkan sahaja. Dia inginkan Spaghetti Bolognese ala melayunya. Resepi yang dia cipta sendiri suatu ketika dahulu.

Entah kenapa dia inginkan makanan itu. Itu bukanlah makanan kegemarannya. Dia gemarkan kari ketam dan masakan melayu biasa. Bukannya masakan western begitu. Yang menggemari Spaghetti Bolognese itu ialah Iskandar. Masih segar di ingatannya ketika Iskandar merayu-rayu supaya dia menyediakan Spaghetti Bolognese itu setiap hujung minggu. Tetapi pagi ini dia pula yang sangat teringinkan makanan itu sehingga kecur air liurnya bila dibayangkan sahaja.

“ Mak.. biar Tasha masak sendirilah mak.” Ujar Natasha sebaik sahaja tiba di dapur.

“Eh, tak apalah nak. Tasha rehat je. Biar mak yang masak. Tasha mesti tak larat kan? Tasha rehat aje ye.” Mak Timah mendudukkan Natasha di kerusi kaca yang berada di tepi meja bar.

“Tak apa mak. Biar Tasha masak sendiri. Tasha terasa nak makan sesuatu yang lain.” Natasha cuba bangun semula. Kakinya yang menggigil ketika itu cuba digagahkan untuk berdiri. Dia perlu masak Spaghetti Bolognese itu. Dari tadi lidahnya terlalu kecur memikirkan masakan itu.

“ Betul ni Tasha tak nak mak bantu? Macam nil ah nak. Biar mak sediakan bahan-bahannya ye. tasha duduk dulu sekejap ye. mak sediakan.”

“Mak sediakan bawang putih bawang merah, serai, daun limau dengan santan sekali ye.” Natasha memesan kepada Mak Timah yang sudah berlalu ke arah peti sejuk. Mak Timah segera berpaling ke arah Natasha. Buat apa semua tu? Bukan nak masak spaghetti Bolognese ke?

“Nak buat apa semua tu Tasha?”

“Mak sediakan ye. Tasha nak masak lain sikit.” Natasha tersenyum melihatkan Mak Timah yang menangguk. Lega kerana keinginannya bakal tertunai sebentar lagi.

Lama dia menunduk ke dalam pinggan makanannya. Ingatannya berlegar mengingati Iskandar yang sentiasa tersenyum bahagia bila memakan masakan ini. Air matanya gugur tanpa disedarinya. Dadanya sebak terlalu merindui suaminya itu. Ah.. Iskandar lagi! Tak ada satu saat pun kah aku tak teringatkan dia. Sedarlah tempat kau wahai hati. Kau dah dibuang….

“Tasha teringatkan Is lagi ye nak? Sabar ye sayang. Mak yakin. Dia pasti akan cari Tasha di sini. Kita tunggu ye sayang. Insha Allah dia akan sedar bertapa dia cintakan Tasha. Mak yakin semua tu. Pak Ali sendiri yang beritahu mak tentang Iskandar. Insha Allah dia akan datang sini juga nanti. Kita tunggu sama-sama.” Mak Timah mengesat air mata yang mengalir si pipi Natasha. dia juga sebak melihatkan keadaan Natasha yang sentiasa bermuram dan menangis.

Masih terngiang-ngiang di telinganya suara Datin Rose semalam. Dia memberitahunya bahawa Iskandar sedang nanar mencari Natasha. Biarkan dia sedarkan kesalahannya dahulu sebelum dia menemui isterinya itu. Supaya nanti dia tidak mengulangi kesalahannya itu lagi. dia mahu Iskandar menjadi seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab kepada keluarganya. Kerana itulah dia berpakat dengan Datin Rose untuk memberikan pengajaran kepada Iskandar. Dialah yang telah bersungguh-sungguh memujuk Natasha ke sini. Doanya agar kebahagiaan akhirnya menjadi milik mereka berdua jua nanti. Insha Allah….


Prangg!!!! Bunyi bising seperti sesuatu pecah yang tiba-tiba berbunyi di luar rumah mengejutkan Mak Timah dan Natasha yang sedang leka melayan perasaan itu. Mereka salingberpandangan buat seketika. Pelik. Bunyi seperti pergelutan sedang berlaku di luar rumah itu. Bunyi apakah itu? 

6 comments:

  1. dah lama gila baru nak update.. lega.. but why.. tak macam u pun yang tulis.. tak ada kualiti.. ayat pun entah apa-apa.. seriously penulis.. we waited for something great..

    ReplyDelete
  2. keep it up writer! lame menunggu,akhirnye dipost jugak new entry! #LoveYou...

    ReplyDelete
  3. Anonymous December 24, 2013 at 4.43 AM : jgn nk terlalu mengkritik.. kalau awk pndai sgt buat novel, try la buat. baru awk tahu rasa susahnye nk menulis ni.. mengkritik mmg la sng, tp sbelum 2, fikir ayt yg sesuai utk mengkiritik. jgn smpai menghiris hati org.. cik natasha ni student, bkn senang nk bahagikan masa antara belajar dgn menulis novel.. tolong la faham ye. sbb sy pn student. sy phm apa yg dia rasa...!!!

    ReplyDelete
  4. Totally agree, kalau kasih kata semangat tak pe lah juga, tapi kalau nak menyakit kan hati penulis baik tak usah lah. sia sia aje. Tak pasal2 dapat dosa kering.

    ReplyDelete
  5. salam kak,
    tak nak buat jd novel kee??
    suka larhhh bce..! huhu :D

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete