Thursday, September 19

My Hubby My Lecturer!!! bab 36

“Rose. Dah siap ke? Abang tunggu dekat bawah ni ye?” Suara Datuk Adam melaung dari tingkat bawah membuatkan Datin Rose terkejut.

“Sekejap bang.” Laung Datin Rose semula.

Dia yang baru sahaja keluar dari bilik air segera bersiap. Baju kegemarannya baju jubbah hitam disarung ke tubuh. Selendang Turki bewarna hitam bersulam benang emas yang terletak di atas katil segera di lilit di kepalanya. Rasa sebak menguasai dirinya.

Selendang itu pemberian terakhir besannya sebelum mereka bertolak ke Mekah dahulu. Inilah kali pertama dia memakai selendang itu. Selama ini dia tidak mampu menahan rasa sebaknya jika melihat selendang itu.

Puan Aida sudah lama berkawan dengannya. Sejak dia berkahwin dengan Datuk Adam lagi. Puan Aidalah yang banyak membantunya menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya yang berbeza di Malaysia. Dari Puan Aida jugalah dia mula belajar menutup aurat sepenuhnya. Puan Aida jugalah yang menjadi teman dan sahabat terapat dengannya sepanjang hidupnya.

Kerana persahabatan yang akrab antara mereka berdua itulah mereka bersungguh-sungguh mahu menjodohkan Natasha dengan Iskandar. Ketika Puan Aida menyuarakan hasrat untuk menjodohkan mereka berdua dia agak terkejut. Masakan tidak, Iskandar bagaikan sudah bertekad untuk tidak berkahwin setelah pemergian Intan. Tetapi kerana dia yakin dengan cadangan sahabatnya itu dia bersetuju untuk menjodohkan mereka.

Masih dia ingat bertapa sukarnya dia memujuk Iskandar supaya bersetuju untuk berkahwin dengan Natasha. Hampir sebulan dia memujuk, barulah Iskandar rela dalam terpaksa menerima permintaannya itu. Dia tahu Iskandar ialah seorang anak yang sangat mendengar kata. Sangat menghormati dan menyayangi kedua orang tuanya.

Atas alasan itu jugalah dia berani menyuarakan permintaannya kepada Iskandar. Walaupun dia tahu Iskandar pasti susah untuk menerima permintaannya untuk berkahwin dengan Natasha. Gadis yang dianggapnya budak kecil cengeng, rakan sepermainannya sewaktu kecil dan pelajarnya sendiri. Pasti Iskandar tidak mahu berkahwin dengan pelajarnya sendiri. Tak pernah dibuat orang pensyarah berkahwin dengan pelajarnya sendiri ketika pelajarnya masih belajar. Namun dia tekad juga untuk memujuk Iskandar sehingga bersetuju.

Setelah Iskandar bersetuju dengan permintaannya itu, Puan Aidalah orang pertama yang dikhabarkan berita itu. Mereka berdua sangat gembira dengan persetujuan Iskandar dan Natasha. berkali-kali ucapan syukur dipanjatkan kepada yang Maha Esa. Hajat mereka untuk menjadi satu keluarga akhirnya tercapai. Hubungan yang begitu akrab antara dia dengan Puan Aida membuatkan dia menganggap Puan Aida sebagai adiknya sendiri.

Oleh itu, kehilangan sahabatnya itu memberi kesan yang besar kepadanya. Dia bagaikan kehilangan seorang adik yang sangat rapat dengannya. Namun dia terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi. Dia ingat dengan janji Allah, setiap yang hidup pasti akan menghadapi mati. Doanya, roh sahabatnya itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Rose tak siap lagi ke sayang?”Suara Datuk Adam yang berdiri di muka pintu mengejutkan Datin Rose.

Air mata yang bergenang di tubir matanya dikesat dengan hujung selendang. Jarum pin tudung bercorak bunga kerawang dipinkan di sisi kepalanya. Datuk Adam segera mendekati isterinya yang jelas kelihatan muram di dalam pantulan cermin.

“Sayang, kenapa muram je ni? Kita kan nak jumpa anak menantu kita. Tak maulah sedih-sedih macam ni. Cuba cakap dengan abang kenapa ni.” Datuk Adam mengusap kepala isterinya. Datin Rose dipeluk dari belakang.

Memang dari dulu lagi dia seorang yang romantik. Cintanya kepada Datin Rose memang tidak pernah padam. Walaupun ramai perempuan yang datang menggodanya kerana harta dan kedudukannya. Tetapi Alhamdulillah. Cinta dan kesetiannya hanya buat isterinya seorang.

Tidak sanggup rasanya dia mengkhianati cinta isterinya. Wanita yang sanggup meninggalkan harta kekayaan, budaya bangsanya, dan agama yang dianutinya demi dia. Masakan dia sanggup mengecewakan wanita sehebat itu. Begitu sukar halangan yang mereka hadapi ketika ingin bersatu takkanlah begitu mudah dia melupakan semua itu. Tidak mungkin!

“Rose teringatkan arwah. Selendang ni hadiah terakhir dari arwah. Rose rindukan sahabat Rose itu.” Rasa sebak yang cuba ditahan tadi akhirnya pecah juga.

Air mata yang mengalir perlahan di pipi Datin Rose dikesat dengan ibu jari. Dia juga menjadi sebak bila teringatkan sahabat baiknya Encik Firdaus. Persahabatanya selama berpuluh-puluh tahun membuatkan dia lebih lagi merasai kehilangan itu. Perasaan sebaknya itu terus ditahan. Dia tidak mahu Datin Rose bertambah sedih.

“Sabar sayang. Kita sama-sama doakan roh mereka berdua ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Dah tak mau nangis lagi. Siap cepat. Hari dah tengahari ni. Nanti jalan jam kita sampai rumah
Amin petang sangat pulak. Kata nak surprisekan dia.” Datuk Adam berusaha memujuk isterinya. Ubun-ubun Datin Rose dikucupnya kudus.

Mendengarkan kata-kata Datuk Adam itu, Datin Rose menjadi bersemangat semula. Sungguh dia rindukan kedua anak menantunya itu. Sudah hampir sebulan dia tidak berjumpa dengan mereka. Dia tidak mahu mengganggu mereka berdua kerana dia tahu mereka berdua masih dalam proses menerima antara satu sama lain.

Permergian mereka ke Terengganu untuk berbulan madu sangat mengembirakan hati Datin Rose. Ini bermakna mereka sudah dapat menerima antara satu sama lain. Membuatkan dia tidak sabar untuk berjumpa mereka. Mujur pagi tadi Datuk Adam mengajaknya untuk berjumpa anak menantunya itu. Kalau tidak pasti parah dia menanggung rindu.

Tangannya laju menyusun semula alat-alat make up ke dalam laci. Pin-pin tudung yang dikeluarkan tadi dimasukkan semula ke dalam kotak kristal berbentuk bulat. Bedak kompak dan gincu jenama Lancôme dimasukkan ke dalam beg tangannya. Tangan Datuk Adam yang berada di bahunya digenggam kemas sebelum mereka berdua keluar dari bilik itu.



Lagu instrumental You and Me yang berbunyi kuat dari ruang tamu membuatkan Natasha yang berada di bilik basuhan kalut meletakkan semula baju yang ingin dijemurnya ke dalam bakul semula. Dia berlari menuju ke ruang tamu. Natasha terkial-kial menanggalkan seliparnya sebelum masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba Natasha yang terlalu laju berlari tersepak hujung karpet dan…. Dia melayang jatuh ke atas lantai.

Aduh… sakitnya. Natasha bangun membetulkan kedudukannya. Patah ke kaki aku ni? aduhai. Apalah karpet ni. Aku yang punya cun melecun bagai puteri ni pun dia tak nampak ke? Apalah pasalnya time aku nak lalu tu jugak dia nak tersangkut kat kaki aku. Telefon bimbit yang berada hanya beberapa langkah darinya dipandang. Natasha mengeluh panjang. Telefon tak sempat diangkat aku pula jatuh tertiarap. Apalah nak jadi.

Dia merangkak mendekati telefon bimbitnya. Untuk bangun berjalan seperti biasa dia terasa kakinya bagaikan sudah patah. Terseliuh agaknya. Dia mengurut-urut sedikit kakinya yang sakit itu. Telefon bimbit ditiliknya. Oh. Mummy yang call tadi. Kenapa ye? Ada hal penting kot. Nombor telefon Datin Rose didail semula.

“Assalamualaikum mummy. Kenapa ye tadi mummy call Tasha? Tasha tengah jemur kain tadi tak sempat nak angkat call dah putus.”

“Walaikummusalam sayang. Tak ada apa mummy cuma nak tanya Tasha ada kat rumah tak sekarang?”

“Ada mummy. Mummy nak datang sini ke? Wah.. bestnya. Dah lama tak jumpa mummy. Rindu. Tasha dengan abang ada beli banyak hadiah tau untuk mummy dengan daddy.” Tangannya masih lagi mengurut-urut kaki yang terasa sangat sakit akibat terjatuh tadi.

“Hehe.. tahu aje dia mummy nak datang ni. Bukalah pintu ni. mummy dengan daddy dah ada dekat luar dah.” Datin Rose tertawa mendengar suara menantunya yang teruja.

“Laa… dah lama ke mummy dekat luar. Kenapa tak call dari tadi. Sekejap ye.” Natasha bingkas bangun menuju ke depan pintu. Sakit di kakinya dilupakan seketika.

Natasha tersenyum lebar bila melihat kedua mentuanya ada di hadapan pintu rumah. Dia segera menyalami dan mencium tangan kedua mereka. Rasa rindunya kepada mereka akhirnya terlerai jua. Bukannya dia tidak boleh menemui mereka sendiri tapi Datin Rose yang melarang dia datang berjumpa dengan mereka.

“Mummy, daddy. Masuklah. Jom jom.” Natasha mempelawa mereka masuk ke dalam rumah. Dia berjalan terhincut-hincut mendahului mereka.

“Eh. Tasha kenapa jalan macam tu? Kaki tu kenapa?” Soal Datuk Adam bila terperasankan keadaan itu.

“Haahlah sayang. Kenapa dengan kaki Tasha ni
?
Amin buat apa dekat Tasha? Dia tak jaga Tasha ke? Mana dia?” soal Datin Rose bertalu-talu. Risau jika Iskandar tidak menjaga Natasha seperti yang diharapkannya.

“Eh.. eh.. tak mummy. Bukan abang Is yang buat Tasha. Tadi Tasha jatuh tersadung hujung karpet. Abang pun tak ada kat rumah sekarang. Dia ke universiti. Minggu depan kan dah nak start semester baru. Lecturer kena mula kerja seminggu awal sebelum semester start. Abang jaga Tasha elok je mummy. Mummy jangan risau tau.” Natasha cepat-cepat membela suaminya. Tak pasal-pasal pula Iskandar yang dipersalahkan. Apalah mummy ni. Macam tak pasti je siapa anak kandung dia yang sebenarnya.

“Lega mummy dengar. Ingatkan
Amin dera Tasha tadi. Kan daddy.” Datuk Adam yang duduk disebelahnya disiku sedikit. Dia membetulkan sedikit duduknya di sofa. Natasha yang tersengih lebar dihadapannya dipandang dengan rasa sayang.

“Iyelah. Tasha. Kalau
Amin ada sakitkan hati Tasha terus mengadu dengan daddy tau. Jangan risau. Daddy janji daddy mesti akan sebelahkan Tasha.” Tokok Datuk Adam.

“Insha Allah daddy abang tak akan sakitkan hati Tasha. Daddy dengan mummy doakan Tasha dengan abang bahagia ye. Ok. Tasha ke dapur sekejap buat air. Langkah kanan betul daddy dengan mummy. Tasha baru masak lasagne dengan pavlova tadi. Abang pun dah nak balik. Bolehlah kita makan sama-sama. Tunggu sekejap ye.” Natasha terus menuju ke dapur selepas menyalakan televisyen. Dia senang hati kerana kedua mertuanya sangat rapat dengan dirinya. Bukankah ibu bapa mertua juga sama darjatnya seperti ibu bapa sendiri. Sementelah dia sudah kehilangan kedua orang tuanya. Jadi hanya kepada merekalah dia menumpang kasih. Doanya semoga mereka terus menjadi ibu bapanya sehingga ke akhirat.

“Sekejap sayang. Mummy ikut. Tapi Tasha duduk je. Biar mummy yang buatkan. Kesian menantu mummy ni”



“Assalamualaikum.” Natasha tersenyum bila mendengar suara orang memberi salam di muka pintu. Dia kenal dengan suara itu. Suara yang sentiasa menggetarkan jantungnya. Mensyahidkan semua rama-ramanya.

“Waalaikummusalam.”

Natasha segera bangun meninggalkan kedua mertuanya yang sedang rancak membelek hadiah masing-masing di ruang tamu dan menuju ke muka pintu. Perjalan ke muka pintu yang hanya dipisahkan dengan satu dinding terasa begitu jauh sekali. Rasa rindunya kepada Iskandar terasa bagai tidak mampu dibendung lagi. Kalau diikutkan hati mahu saja dia berlari namun kesakitan di kakinya membataskan pergerakannya.

“ Wa’alaikummusalam abang.”  Beg bimbit di tangan Iskandar diambil. Natasha meraih tangan Iskandar dan mencium tangan itu. Lama. Biar hilang semua getar kerinduannya tadi.

“Rindunya abang pada cinta. Dahi ni.” Dahi Natasha dikucup penuh kudus.

“Mata ni.” Kucupannya beralih ke mata Natasha.

“Hidung ni.”
Belum sempat Iskandar melaksanakan hajatnya Natasha mengelak. Iskandar mengerutkan dahinya. Kenapa? Aku ada buat salah dengan dia ke? Marah sebab aku balik lambat ke? Ke tak suka dengan bau busuk aku baru balik kerja? Tapi takkanlah berbau kot. Aku pakai perfume Clive Christian 1872 kot. Harga punyalah wangi, mahal dah tu tahan lama pulak tu. Takkanlah still tak suka lagi kot.

“Tak mau. Mummy dengan daddy ada kat dalam.” Natasha berbisik perlahan.

Iskandar ternganga buat tiga saat. Mujur kejadian lepas laku tadi terbantut. Kalau tidak malu tujuh keturunan dia nanti. Masakan tidak. Dulu bila disuruh berkahwin dengan Natasha dia yang sibuk membantah siap bercadang mahu balik semula ke England. Tetapi sekarang dia yang kemaruk cinta bagai nak rak. Malulah.

“Alaaa… sikit pun tak boleh?” Iskandar mula mengusik Natasha.

Natasha yang mula memerah pipi menjelirkan lidah kemudian meninggalkan iskandar. Tapi dah namanya sakit kaki perjalannya pun perlahan.

“Eh kenapa ni sayang?” Iskandar kalut melihat Natasha yang berjalan terhincut-hincut. Kenapa tadi dia tidak perasankan keadaan Natasha itu? Pinggang Natasha diraihnya supaya Natasha lebih stabil.

“Tadi Tasha jatuh tersadung karpet. Kejap lagi ok lah tu. Jangan risau ok.” jelas Natasha. Jarinya dibentuk tanda okay.

“No. No. No. Kita pergi klinik.” Iskandar membantah.

“Tak boleh macam tu abang. Kan mummy daddy ada ni. Tak baik kita biarkan dia orang macam tu je. Tunggu dia orang balik dulu baru kita pergi ye.” Pujuk Natasha.

Jari telunjuknya dilalukan perlahan di hujung bibir Iskandar. Cara paling berkesan memujuk Iskandar yang baru dikenal pastinya baru-baru ini. Iskandar bukan boleh di buat tak endah. Dia kan terkenal dengan perangai jom tiba-tiba dia tu. Kalau dibuatnya dia memaksa juga kasihan mummy dengan daddy nanti. Sudahlah datang jauh-jauh semata-mata mahu berjumpa mereka tetapi mereka pula sibuk ke klinik hanya kerana kakinya sakit sedikit. Memang tak patut.

“Janji?”

“Janji.”

“Ok jom masuk. Abang lapaaarrrr…” Rengek Iskandar.

Natasha memandang Iskandar tajam sambil mengetap bibir. Tadi siapa yang paksa aku pergi klinik? Ni tak sempat masuk rumah lagi dah merengek lapar. Mengada!

4 comments:

  1. Finally ada pun update... daddy pun macam Is jugak kan.. romantik sangat..

    ReplyDelete
  2. bile bce dr prolog smp bab 36 kan.. Msti jannah yg punca intan xcidebt sbb haikal kta ade"something" yg bole wat iskandar tinggalkan jannah...

    ReplyDelete