Tuesday, July 9

My Hubby My Lecturer!! bab 9

Natasha sedang berbual dengan Ara ketika telefon  bimbitnya berbunyi nyaring. Suara serak-serak basah Jason Wade vokalis kumpulan Lifehouse itu berkumandang kuat. Ara memandang ke srin telefon Natasha dan memberi isyarat bahawa Iskandar yang menelefonnya. Talian terputus ketika Natasha cuba menyambutnya.

Natasha mengerutkan dahi pelik kerana selama ini tak pernah sekali pun Iskandar menelefonnya ketika dia berada di dalam kelas. Masakan Iskandar tidak tahu jadualnya. Sejak akhir-akhir inikan Iskandarlah yang meguruskan waktunya masuk ke kelas. Jadualnya pasti sudah melekat kejap di dalam minda Iskandar. Sekali lagi telefonnya berdering. Natasha segera keluar dari dewan kuliah untuk menjawab panggilan.

“Tasha awak dekat mana? Jumpa saya di pejabat saya sekarang. Bawa semua barang-barang awak sekali. Jangan banyak soal. Cepat!” arah Iskandar dengan suara cemas kemudian talian terus diputuskan. Natasha yang terpinga-pinga mendengar arahan Iskandar itu memandang lama telefon bimbit di tangannya. Ada apa mamat ni?

Natasha masuk semula ke dalam dewan kuliah. Mujur juga hari ini kelasnya batal kerana Madam Liza bercuti sakit. Kalau tidak mana mungkin dia dapat keluar masuk dewan kuliah sesuka hatinya. Buku-buku yang bersepah di atas meja dikemas dengan segera. Dia memberi isyarat kepada Ara bahawa dia perlu keluar berjumpa dengan Iskandar.

“Ada apa yang kelam kabut sangat  dia tu?” soal Ara dengan nada sehabis rendah.

“ Entah aku pun tak tahu. Kelam kabut sangat aku tak sempat tanya. Aku pergi dululah ye. Bye.” Tangan Ara digenggam lebut sebelum melepaskannya.

Dari pintu yang terbuka, kelihatan dua anggota polis di dalam bilik Iskandar. Natasha menggerutkan dahinya. Kenapa ni? Ada berlaku rompakan ke? Iskandar yang masih belum perasankan kehadirannya berjalan ke hulu ke hilir. Sesekali rambutnya diraup ke belakang. Seperti ada masalah yang sangat besar melanda Iskandar.

“Assalamualaikum.” Natasha memberi salam setelah dia memasuki bilik yang tadinya tidak ditutup pintunya.

“Waalaikumusalam. Tasha. Tutup pintu tu. Meh sini.” Arah Iskandar sambil menggamit Natasha mendekatinya. Natasha hanya menurut arahanya dan berdiri di sebelah Iskandar.

“Ada apa ni Sir? “ Tanya Natasha dengan panggilannya terhadap Iskandar berubah. Anggota polis itu bukannya tahu pun mereka suami isteri.

Tiba-tiba Iskandar menggenggam erat tangannya. Mata Natasha membulat namun dia terpaksa merelakan kerana takut mengaibkan Iskandar pula. Pasti anggota polis ini sudah tahu status mereka jika tidak mana mungkin Iskandar berani berbuat begitu.

“Natasha inspector berdua ni ada benda yang nak disampaikan. Saya harap awak sabar. Saya ada dengan awak. Sentiasa ada dengan awak.” Mata Natasha direnung sedalam-dalamnya. Iskandar mahu memberi Natasha keyakinan bahawa dia akan sentiasa berada di sisinya.

“Ada apa ni?” soal Natasha semakin pelik.

“Tuan. Tuan boleh beritahu dia sekarang.” Ujar Iskandar perlahan.

“ Puan Natasha. Kami harap puan bersabar dengan berita ni. Sebenarnya bas yang dinaiki kedua ibu-bapa puan terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Makkah menuju ke Jeddah petang semalam. Semua penumpang dan pemandu bas tersebut telah disahkan meninggal dunia.” Beritahu salah seorang pegawai polis itu dengan suara yang perlahan. Jelas dia juga tidak sanggup untuk menyampaikan berita sedih itu.

Natasha memandang Iskandar yang berada disisinya. Tiba-tiba dia hampir jatuh terduduk mujur sahaja ada Iskandar yang menyambutnya. Iskandar memeluk kuat pinggang Natasha untuk membantunya berdiri. Tak mungkin. Tak mungkin, mama dengan papa pasti masih hidup.

“Is awak main-main kan? Awak main-main kan? Dia orang ni tipu saya kan. Mama dengan papa masih hidup kan? Ini semua tak terjadi kan?” Air mata mengalir laju dari mata Natasha. Ini semua tak mungkin!

“Tasha. Tasha. Shhh.. Sabar.Sabar. Saya ada dengan awak. Memang betul mereka dah tak ada. Saya dah buat pengesahan dengan pihak kedutaan tadi.” Iskandar cuba menenangkan Natasha yang sudah tidak keruan. Dia memeluk Natasha yang bagai tiada daya untuk berdiri lagi itu. Natasha menangis teresak-esak di bahunya.

“Tak is. Mama ada lagi dia cuma pergi umrah dengan papa. Nanti dia balik. Awak tipu saya! Awak tipu saya! Semua orang tipu saya! Saya nak mama! Saya nak papa! Is tolonglah janagn buat saya macam ni. Mama cakap dia sayang saya. Tak mungkin dia tinggalkan saya. Is saya nak mama dengan papa saya. tolonglah Is.” Natasha merayu-rayu dibahu Iskandar. Baju kemeja Iskandar dicengkam kuat.

Mama papa. Kenapa tinggalkan Tasha macam ni. Tasha tak nak. Tasha nak mama dengan papa. Tolonglah tolonglah. Perlahan-lahan Natsha melorot ke lantai.Iskandar turut sama duduk dia masih lagi memeluk kejap isterinya. Bahu Natasha diusap-usap perlahan bagai memberi semangat. Sesekali ubun-ubun Natasha dikucup lama. Tak sanggup dia melihat Natasha menghadapi dugaan ini bersendirian.

“Tasha awak kena kuat.  Ingat Allah banyak-banyak. Apa pun yang berlaku awak kena terima dengan hati yang terbuka. Awak kena kuat Tasha. Saya tahu awak kuat.” Bisik Iskandar rapat ke telinga Natasha. Air mata Natasha yang terus bercucuran di pipinya dikesat lembut dengan ibu jarinya.

“Mama dengan papa dah tinggalkan saya. saya dah tak ada sesiapa lagi di dunia ni. Tinggal saya seorang saja. Saya tak sanggup Is saya tak sanggup saya nak jumpa mama dengan papa. Saya dah tak ada sesiapa selain dia orang.” Tangisan Natasha semakin menjadi-jadi. Hilang segala semangat di dalam dirinya. Iskandar mengeratkan pelukannya lagi apabila tangisan Natasha menjadi semakin kuat selepas kedua anggota polis yang tadinya berada di ruangan itu pulang.

“ Sabar Tasha. Sabar.. Pandang saya. Saya ada. Saya ada dengan awak. Saya ada. Saya akan jaga awak. Awak jangan risau.” Air mata lelaki Iskandar juga mengalir. Dia juga merasakan keperitan Natasha. Ya Allah besarnya dugaan kau kepada dia. Apakah dugaan ini mampu dia tanggung Ya Allah? Mendengarkan kata-kata Iskandar Natasha tidak menjawab. Hanya air matanya saja yang mengalir deras. Natasha memejamkan matanya rapat-rapat. Harapannya, apabila dia membuka matanya nanti  semua yang berlaku ini hanyalah sebuah mimpi ngeri. Namun sebaik sahaja dia membuka mata semuanya masih lagi realiti.

Iskandar yang masih memeluk erat Natasha di atas lantai tidak henti-henti mengusap belakang Natasha. Memberi semangat yang pastinya. Pesanan terakhir papa terngiang-ngiang di telinga Iskandar. ‘Tolonglah jaga Tasha bagi pihak papa. Hanya setakat ni saja papa mampu jaga Tasha. Papa harap kamu berdua dapat hidup macam suami isteri yang lain juga. Papa harap kamu bahagia sampai ke syurga nanti.’ Adakah bapa mertuanya sudah tahu akan kepergiannya itu? 

Pa Is janji. Is akan jaga Tasha. Is akan cuba sedaya upaya untuk laksanakan amanah papa. Is doakan mama dengan Papa ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

“Tasha. Jom kita balik. Kita balik. Saya kena uruskan hal ni dengan pihak kedutaan. Awak perlu rehat di rumah. jom. Awak boleh bangun tak? Meh saya papah awak. Awak duduk sini sekejap saya pergi ambil kereta.” Iskandar mendudukan Natasha yang tersangat lemah seperti tidak berperasaan itu di kerusi. Dia bergegas keluar.

Sebaik sahaja Iskandar keluar Natasha terasa kepalanya berat dan berpusing-pusing. Akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri.

Mama, papa. Walaupun kita tak dapat bersama lagi di bumi Allah ini. Tapi Tasha akan selalu mendoakan mama dan papa dan berdoa agar kita dapat bertemu lagi di akhirat nanti. Walaupun terlerai sentuhan kita namun Tasha akan membawa tautan kasih kalian sepanjang hidup Tasha.
Al-Fatihah……

Wahai jiwa yang tenang tenteram.kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan yang reda dan diredai,maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. Dan masuklah ke dalam syurga.

(Surah Al-Fajr. Ayat 27-30)

2 comments:

  1. sis,keep it up,sdih,.ok tngu nxt entry ye

    ReplyDelete
  2. hehe... sedih sampai air mata mengalir x yang? saya ni hati keras.. tengok cerita one little of tears pun x nangis.. hehe.. so x tau nk buat cerita sedih.. rasanya macam ni ok x yang? hehe.. ok malam ni saya tulis bab 10! aza aza fighting!

    ReplyDelete